Penulis Topik: Apakah solat menghormati waktu  (Dibaca 2671 kali)

yusida

  • Global Moderator
  • Hero Member
  • *****
  • Pos: 1042
    • Lihat Profil
Apakah solat menghormati waktu
« pada: Disember 10, 2013, 01:34:05 pm »



Solat hormat waktu

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI



KEPENTINGAN solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring. (riwayat al-Bukhari).

Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.

Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.

Menurut jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya. Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.



solat wajib dikerjakan temasuk di dalam kapal terbang



Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan hal ini berdasarkan mazhab yang empat:


Mazhab Hanafi

Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.

Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.

Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.

Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.



Mazhab Maliki

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.

Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.

Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.



Mazhab Syafie

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.

Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.

Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.

Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.

Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.


Mazhab Hanbali

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.

Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.

Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.

Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama'ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.


sumber : utusan malaysia
« Edit Terakhir: Disember 10, 2013, 01:37:07 pm oleh yusida »

yusida

  • Global Moderator
  • Hero Member
  • *****
  • Pos: 1042
    • Lihat Profil
Per:Apakah solat menghormati waktu
« Jawab #1 pada: Disember 16, 2013, 08:33:15 am »


Apa itu solat menghormati waktu?

Bagi menghuraikan isu ini, perkara asas yang paling utama diketahui adalah mengapa ulama menyebut hal ini.

Isu solat menghormati waktu timbul apabila seseorang itu gagal dalam menyempurnakan syarat-syarat sah solat.

Di antara perkara yang boleh berlaku dan menyebabkan seseorang itu dikehendaiki menyempurnakan solat menghormati waktu ialah:-

1. Tidak dapat bersuci samada wuduk atau tayammum seperti dalam kenderaan yang tidak mampu berhenti atau menaiki kapal namun tidak sampai untuk mengambil air

Contoh yang paling mudah ialah dalam kapal terbang yang sedang bergerak di udara dan tiada air kecuali terlalu sedikit dan tiada pula debu tanah untuk tayamum atau dalam kenderaan yang tidak boleh berhenti seperti kereta api.

2. Keadaan kedua adalah seperti pakaian terkena najis dan tidak mampu menukarnya dalam tempoh waktu solat disebabkan tiada pakaian lain yang dibawa dan waktu solat pula telah hampir tamat.

Boleh dikatakan bahawa keadaan ini boleh juga berlaku terutama dalam kenderaan seperti kapal terbang yang tiada air kecuali untuk minum dan beristinjak dan tiada air untuk bersuci dan tiada pula debu tanah.  Jadi pilihan yang ada adalah dengan menunaikan solat menghormati waktu.

Solat menghormati waktu mempunyai pendapat yang berbeza dari para ulama; mazhab yang berbeza-beza.  Pada pandangan mazhab Syafie orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang difardukan sahaja.

Solat hendalah dilakukan dalam keadaan sedia ada tanpa wuduk sebab tiada air.  Solat dan niat seperti biasa tetapi tidak boleh solat sunat.  Solat tersebut hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah didapati.

Orang yang bernajis di badannya dan dia tidak boleh membasuh kerana takut sakit dan juga yang ditahan penjara dan dikurung misalnya dan tidak boleh menunaikan solat adalah sama hukumnya dengan orang tidak ada air dan tanah.

Mereka juga perlu solat menghormati waktu.  Solat hendaklah dilakukan sama seperti solat biasa dengan menutup aurat dan menghadap kiblat - cuma perlu mengulangi sahaja.

Dalam hal solat menghormati waktu, ini adalah perkara yang sesekali berlaku sahaja tetapi apabila kita terpaksa menghadapinya lagi maka kita hendaklah memikirkan cara hendak solat.

Pada pengalaman seorang penulis yang agak kerap keluar negara, dalam kapal terbang ramai daripada masyarakat Islam yang tidak solat.  Ini berlaku walaupun di dalam perjalanan pulang daripada mengerjakan umrah atau haji.  Mereka kadang-kadang berkata 'Kita qada' saja kan tak ada air sama sahaja kalau solat hormat waktu kan kena qada 'juga'.

Cakap-cakap seperti ini namanya memudahkan hukum Islam, sedangkan solat telah difardukan dalam apa keadaan sekalipun. Kadang-kadang mereka telah mengetahui tentang hukum solat menghormati  waktu ini tetapi disebabkan solat itu perlu diulang semula, maka mereka beranggapan elak sahaja diulang semula tidask perlu solat dua kali.

Pada pandangan mazhab Syafie kewajipan solat tidak gugur walaupun tiada air dan tanah.   Ia perlu dilaksanakan walaupun tidak sempurna syarat-syaratnya.  Cuma ia perlu diqada’ semula apabila air dan tanah telah ditemui.

Masyarakat kita hanya suka melaksanakan ibadah yang mudah sahaja dan tidak mahu menukar keadaan ibadah tersebut.

Misalnya solat dalam kenderaan, solat jamak dan qasar tidak boleh dilakukan dengan alasan tidak tahu.  Ini masalah masyarakat kita iaitu tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan ilmu yang ada dengan 1001 alasan dan masalah.

Utaz Azhar Tuarno, masjid negara
Sumber : Mingguan wanita